Wednesday 18 July 2012

Sistem Orbit dari Fasa Bulan

Bulan dan matahari beredar pada satah yang berasingan. Bulan beredar di satah peredarannya berbanding dengan matahari yang beredar di satah ekliptik. Satah peredaran bulan dan matahari akan bersilangan di titik- titik nod (uqdah) pada sudut persilangan purata 5° 09'. Oleh kerana orbit bulan mengelilingi bumiberbentuk elips, maka jarak bulan ke bumi sentiasa berubah. Bulan berada di kedudukan terjauh dari bumi dinamakan titik apogi'pada jarak sejauh 406 610 km, manakala titik terdekat iaitu perigi sejauh 356 334 km. Kedudukan yang berbeza-beza ini akan menyebabkan halaju pergerakan bulan dan saiz diameternya sentiasa berubah dalam satu pusingan qamariyah.
Bagi pemerhati di bumi, bahagian bulan yang dapat dilihat sama di sepanjang masa, kecuali pada bahagian-bahagian tertentu akibat kesan liberasi. Fasa bulan bermula dengan berlakunya ijtimak. Dalam astronomi takwim ijtimak disifatkan sebagai pemisahan antara fasa bulan lama dengan bulan baru. Secara Fizikal, ijtimak berlaku apabilabulan berada di antara bumi dengan matahari. Ketika ijtimak, bahagian bulan yang bercahaya menghadap ke arah matahari, manakala bahagian yang gelap menghadap ke arah bumi. Berdasarkan kedudukan bulan dan matahari di satah peredaran masing-masing, ketika ijtimak kedua-dua akan berada di longitud yang sama. Oleh itu untuk mengetahui waktu berlaku ijtimak, perlu dikirakan kedudukan longitud bulan dan matahari. Data waktu berlaku ijtimak boleh diperolehi dalam almanak di bawah jadual bulan baru astronomi (newmoon). Pengiraan waktu berlaku ijtimak boleh juga dibuat dengan menggunakan formula tertentu.
Selepas berlaku ijtimak, pembesaran fasa bulan selanjutnya ditentukan oleh perubahan kedudukan bulan berbanding dengan matahari. Dalam sistem orbit bulan dan bumi berpusatkan matahari, bulan selepas ijtimak berada sebelah timur matahari, sebagaimana Rajah di bawah. Julat di antara proses berlaku ijtimak dengan pembentukan fasa selanjutnya boleh ditunjukkan sama ada dalam kuantiti perbezaan longitud, arka pemisahan bulan dan matahari iaitu perbezaan jarak hamal ataupun umur bulan yang merujuk kepada susulan masa selepas berlaku ijtimak.
Perubahan fasa bulan
Misalnya umur bulan ketika waktu matahari atau bulan terbenam. Secara umum, kuantiti ini dapat memberikan gambaran perbezaan kedudukan di antara bulan dengan matahari dan fasa bulan yang berkaitan. Dalam sehari, bulan beredar pada kadar 13° atau 0.5° per jam. Secara berperingkat, sedikit demi sedikit bahagian bulan yang bercahaya mula kelihatan dan bumi sebagai anak bulan (hilal). Selepas tujuh hari, fasa bulan menjadi suku muda. pada hari ke-14 atau 15, fasa bulan menjadi purnama. Dari segi fizikal, fasa purnama berlaku apabila bulan berada pada kedudukan setentang dengan matahari. Ketika ini bahagian bulan
yang menerima cahaya matahari menghadap ke arah bumi sepenuhnya. Lebih kurang tujuh hari selepas fasa bulan purnama, fasa berikutnya ialah suku tua atau suku ketiga. Ketika ini bulan telah mendekati matahari pada sebelah barat. Apabila bulan sekali lagi berada di tengah-tengah di antara bumi dengan matahari, maka berlaku sekali lagi proses ijtimak bagi fasa bulan berikutnya.

Terbit dan Terbenam Bulan

Terbit dan terbenam bulan berkait rapat dengan perubahan fasanya. Selepas ijtimak bulan akan terbit selepas matahari terbit, dan kelihatan rendah di ufuk barat selepas matahari terbenam. Semakin hari bulan akan terbit semakin lewat pada kadar purata 51 minit setiap hari. Ketika bulan sabit muda, bulan akan terbit pada waktu tengah hari dan terbenam pada waktu tengah malam. Sebelum fasa bulan purnama, bulan akan terbit sebelum waktu matahari terbenam, dan terbenam sebelum matahari terbit. Manakala bulan suku tua pula akan terbit ketika tengah malam dan terbenam pada tengah hari berikutnya. Sebelum berlaku ijtimak, bulan akan terbit pada waktu subuh menyebabkan bulan yang berbentuk sabit kelihatan rendah di ufuk timur sebelum waktu matahari terbit.

 SUMBER:http://www.al-azim.com/~smkdolsaid/bulanorbit.htm

No comments:

Post a Comment